Kisah Humaira

Assalamualaikum... Saya Fatin Humaira Binti Mohamad Hasanuddin

Pertama kalinya saya ingin berkongsi mengenai pengalaman dan pengetahuan saya dalam kerja berkumpulan subjek kemahiran belajar di IPGKDA.  Ini merupakan penulisan pertama dalam blog ini.  Sekiranya blog ini tidak begitu menarik maafkan saya ☺, saya akan perbaiki dari masa ke masa.

Saya mula menjejakkan kaki di Institut Pendidikan Guru Kampus Darul Aman ketika sesi temuduga, ujian amali dan ujian kecergasan fizikal untuk melayakkan diri ke IPG.  Setelah saya menjalani kesemua ujian, saya terfikir saya tidak dapat memasuki IPG.  Walau bagaimanapun, Alhamdulillah, saya telah ditempatkan di IPGKDA.  Saya mula memikirkan tugasan yang akan diterima setelah berada di sini. Wah, memang banyak tugasan yang diberikan sama ada dalam individu atau berkumpulan bagi setiap subjek.  Setelah menerima tugasan ini, saya ada perasaan ingin berhenti, namun, lama-kelamaan saya tetap teruskan pembelajaran di sini apabila memikirkan masa depan yang saya bakal hadapi sekiranya saya berhenti. Bak kata pepatah 'bersusah dahulu, bersenang-senang kemudian'.

Sejujurnya pada mulanya saya merasakan saya tidak mampu bekerjasama dengan ahli kumpulan saya. Hal ini kerana saya agak sukar untuk berkomunikasi dengan orang yang baru saya kenal. Saya juga menganggap keputusan peperiksaan SPM saya tidak setanding mereka.  Cuba lihat perbezaan 8A dan 6A, nampak ketara bukan?  Namun kerjasama dapat dipupuk dengan baik apabila semua memainkan peranan yang penting dalam melaksanakan setiap tugasan.  Pelbagai pandangan yang diberikan juga membuatkan kerjasama semakin kuat. Sebenarnya, kerjasama dalam melakukan sesuatu tugasan bukan diukur dengan keputusan peperiksaan, ia merupakan sikap positif yang harus diamalkan dalam perlaksanaan kerja berkumpulan.

Baiklah, kumpulan kami ditugaskan membincang mengenai peta pemikiran (i-Think), peta tony buzan dan pengurusan info grafik.  Sememangnya sumber rujukan pertama saya adalah melalui internet.  Semua orang mengetahui pada zaman kini internet sangat diperlukan untuk mengetahui sesuatu perkara.  Sejujurnya saya baru mengetahui dalam pembelajaran mempunyai banyak kaedah bagi memudahkan pelajar memahami sesuatu perkara setelah menerima tugasan ini.  Dan sebenarnya antara banyak kaedah tersebut pernah kita amalkan dalam kehidupan seharian.  Di sini saya akan berkongsi mengenai pengurusan info grafik. Pengurusan info grafik sebenarnya mempunyai banyak jenis.

Teruskan membaca sekiranya ingin mengetahui beberapa jenis pengurusan info grafik tersebut.

Antaranya ialah membanding beza.  Pasti anda tertanya, apakah itu membanding beza?  Menurut kefahaman saya, membanding beza itu ialah membanding persamaan dan perbezaan sesuatu perkara.  Sebagai contoh, persamaan 'Aifah dan Maisarah ialah mereka merupakan kawan saya yang memakai cermin mata. Perbezaan mereka pula ialah 'Aifah berasal dari Kedah manakala Maisarah berasal dari Kelantan.  Perkara ini boleh dibezakan dengan membuat kotak. Membanding beza juga terdapat dalam jenis peta pemikiran iaitu peta buih berganda.

Selain membanding beza, membuat kategori juga merupakan antara pengurusan grafik.  Membuat kategori digunakan untuk menunjukkan hubungkait antara objek-objek dalam kelas yang sama.  Contohnya, dalam pengelasan jenis bahan bacaan mengikut peratusan kekerapan bahan bacaan itu di baca.


Baiklah, kita teruskan kepada jenis pengurusan info grafik yang seterusnya.

Seterusnya, terdapat juga pengurusan grafik membuat ramalan.  Ramalan yang dibuat adalah berdasarkan bukti kukuh. Sebagai contoh, meramal jumlah jualan bahan bacaan mengikut tahun.  Jumlah jualan itu berdasarkan kekerapan pembacaan bahan bacaan.  Contoh di bawah ini sekadar contoh semata-mata ✌. Saya yakin orang yang membaca ini boleh membuat dengan lebih baik.


Di samping itu, terdapat pengurusan grafik menerangkan sebab.  Penerangan sebab melibatkan punca berlaku sesuatu perkara dan menyatakan akibatnya.  Misalnya, mengenai pencemaran air.  Pencemaran air berlaku berpunca daripada sikap masyarakat yang tidak prihatin. Mereka membuang sampah ke dalam sungai tanpa meramal akibat buruk akan berlaku iaitu pencemaran sungai.  


Antara pengurusan grafik yang lain ialah meneliti bahagian-bahagian kecil dan keseluruhan.  Pengurusan grafik ini berfungsi untuk membahagikan sesuatu perkara dan menerangkan peranan setiap bahagian berkaitan perkara tersebut. Di bawah ini saya ingin kongsikan beberapa kemudahan yang terdapat di IPGKDA sebagai contoh pengurusan grafik jenis ini.


Setakat ini sahaja perkongsian mengenai tugasan berkumpulan kami dalam subjek kemahiran belajar.  Saya bersyukur dapat belajar perkara baru seperti ini kerana ia amat membantu dalam pembelajaran.  Saya berharap penulisan ini dapat membantu para pembaca supaya boleh digunakannya dalam menyelesaikan sesuatu perkara.  Sekiranya terdapat kesilapan, berharap dapat diperbetulkan. Terima kasih kerana membaca hingga ke akhir mengenai perkongsian ini.





Comments

Popular posts from this blog

Pengaplikasian Peta Minda Tony Buzan dalam Pembelajaran

Hiking di Kedah